Kelantan Tawan Stadium Utama Kangar
KELANTAN menempa sejarah tersendiri dalam kancah bola sepak tanah air apabila mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 bertemu Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 7 November ini.
Ia adalah kejayaan paling manis dalam tempoh 39 tahun jatuh bangun bola sepak Negeri Cik Siti Wan Kembang ini yang sangat dinanti-nantikan para peminat bola sepak Kelantan.
Kelantan melakar sejarah apabila menumbangkan skuad Singa Utara 3-1 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Utama Negeri di Kangar malam tadi selepas kemenangan 2-0 dicatat dalam aksi pertama di tempat sendiri, 27 Oktober lepas.
Dalam aksi final nanti, Kelantan akan berdepan Negeri Sembilan, pasukan yang mempunyai rekod tanpa kalah dalam kempen Piala Malaysia 2009. Skuad Rusa itu mara ke final selepas menang menerusi agregat 4-1.
Pada aksi pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan sekadar menang tipis 1-0 namun menunjukkan belang apabila beraksi di Kuala Terengganu malam tadi. Negeri Sembilan menang 3-1 pada perlawanan tersebut.
Bagi Kelantan, ia adalah final ketiga selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 1970, namun tewas 0-1 di tangan Perak pada aksi final berkenaan.
Kini ia adalah peluang terbaik Kelantan untuk menjulang piala paling berprestij dalam arena bola sepak Malaysia di pentas final nanti.
Pada perlawanan malam tadi, Kelantan beraksi cemerlang dengan menerima sokongan padu hampir 10,000 peminat fanatik yang membanjiri Stadium Utama Kangar.
Stadium mula bergemuruh dengan sorakan penyokong Kelantan apabila Mohd Norfarhan menyumbat gol pembukaan pada minit ke-26.
Keadaan sekali lagi gamat beberapa minit selepas perlawanan babak kedua bersambung apabila Norfarhan sekali lagi mencuri tumpuan dengan menyumbat gol kedua Kelantan pada minit ke-54.
Sekalipun Perlis berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-69 namun gamitan Bukit Jalil tidak mampu lagi ditahan buat skuad The Red Warriors apabila Norfarhan melengkapkan malam gemilangnya dengan jaringan hatrik pada minit ke-87.
Perlawanan akhir menentang Negeri Sembilan sudah pasti menyajikan lebih banyak aksi menarik daripada skuad Sang Kijang apatah lagi ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin kembali beraksi selepas digantung satu perlawanan.
Sama-sama kita saksikan dan memberi sokongan tak berbelah bagi kepada pasukan kesayangan kita.
"GOMO KELATE GOMO"
Kelantan Ke Final Piala Malaysia 2009
Sunday, November 1, 2009
6:35 PM | Labels: final, norfarhan, perlis, piala-malaysia, separuh-akhir | 0 Comments
Keputusan Piala Malaysia 2009
Friday, October 30, 2009
Prestasi Pasukan Kelantan Dalam Kempen Piala Malaysia 2009
Keputusan Peringkat Kumpulan
26/09/2009: Pulau Pinang 1-2 Kelantan
29/09/2009: Kelantan 1-0 Kedah
03/10/2009: ATM 1-2 Kelantan
06/10/2009: Kelantan 2-1 Pulau Pinang
10/10/2009: Kedah 1-0 Kelantan
13/10/2009: Kelantan 5-0 ATM
Kesimpulan: Kelantan memenangi lima daripada enam perlawanan peringkat kumpulan dan hanya kalah sekali kepada Kedah di tempat lawan pada 10 Oktober 2009, sekaligus mara ke peringkat Suku Akhir selaku Juara Kumpulan E.
Jumlah jaringan: 12
Jumlah dibolosi: 4
Mata dipungut: 15 mata
3:49 PM | Labels: keputusan, piala-malaysia | 0 Comments
KELANTAN di ambang cipta sejarah
Mampu akhiri penantian 39 tahun ke pentas Final Piala Malaysia
KELANTAN berpeluang cerah mara ke final Piala Malaysia selepas menewaskan Perlis 2-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu Selasa lepas (27 Oktober).
Pada perlawanan itu jentera pertahanan Kelantan yang diketuai oleh Nazrulerwan Makmor terpaksa bekerja keras menahan asakan bertali arus penggempur Perlis yang diketuai oleh Nizaruddin Yusof dan Ahmad Fakri Shaarani, khususnya pada babak pertama.
Stadium Sultan Mohd Ke-IV seakan-akan tidak memberi kelebihan buat skuad The Red Warriors, sebaliknya Perlis hampir di depan seawal minit kelima apabila gerakan solo Ahmad Fakri berjaya memperdayakan Nazrulerwan dan benteng Kelantan, namun percubaannya berjaya dihalang oleh penjaga gol Kelantan, Halim Napi.
Hanya selepas hampir 15 minit perlawanan berlangsung, barulah Kelantan mula dapat mengimbangi permainan dengan peluang terbaik dimiliki oleh Khairan Eroza yang menerima hantaran silang kapten tuan rumah, Indra Putra Mahayuddin, namun tandukannya berjaya digagalkan penjaga gol Perlis, Faizal Marlias.
Begitu pun stadium akhirnya gegak gempita apabila Kelantan berjaya memecah kebuntuan jaringan menerusi Indra Putra. Gol berkenaan hadir pada minit ke-22 melalui gerakan yang bermula daripada Che Hishamuddin Hassan yang melorong bola cantik kepada Indra dan berjaya melarikan bola ke kawasan kotak penalti.
Pemain pertahanan Perlis, Mazlizam Mohamad yang ditugaskan mengawal pergerakan Indra telah menjatuhnya sehingga memaksa pengadil perlawanan Shokri Nor menghadiahkan sepakan penalti buat Kelantan. Indra yang diberi tanggungjawab tersebut berjaya menggamatkan stadium untuk gol pembukaan Kelantan.
Babak kedua menyaksikan para penonton dihidangkan dengan aksi membosankan apabila kedua-dua pasukan bermain dengan begitu berhati-hati, sekali sekala terhambur kata-kata kurang enak didengar dilontarkan oleh peminat setia skuad Wira Merah itu.
Ternyata para penyokong Kelantan amat tidak berpuashati dengan corak permainan dipamerkan anak-anak buah B Sathianathan, lebih-lebih lagi apabila menyedari bekalan satu gol tentunya tidak mencukupi untuk dibawa ke Kangar Sabtu ini pada aksi separuh akhir kedua nanti.
Bagaimanapun tanpa disangka-sangka, ketika wisel penamat bila-bila masa sahaja ditiup pengadil perlawanan, tiba-tiba kelibat pemain pertahanan, Rizal Fahmi Rosid mencuri tumpuan para penonton apabila tandukannya hasil daripada bola tendangan sudut menerjah ke gawang Perlis untuk gol kedua Kelantan sekaligus disambut ledakan bunga api oleh para peminat setia The Red Warrior.
Begitupun para pemain tidak seharusnya berpuashati dengan bekalan dua gol berkenaan kerana melihat kepada persembahan Perlis pada perlawanan itu, tidak mustahil mereka mampu menidakkan impian skuad Sang Kijang di Kangar.
Mampukah The Red Warriors menamatkan penantian panjang peminat-peminat bola sepak di negeri ini apabila kali terakhir Kelantan beraksi di pentas final Piala Malaysia ialah pada 1970 iaitu 39 tahun lampau. Lama tu!! Sama-sama kita tunggu dan saksikan..
12:23 PM | Labels: indra-putra, perlis, piala-malaysia, rizal-fahmi, separuh-akhir | 0 Comments
Subscribe to:
Posts (Atom)